Hari Ini Sudah Berselawat

6 Kurikulum Rasmi atau Formal

Assalamualaikum WBT

Mungkin ada yang tercari-cari beberapa kategori atau orientasi dalam kurikulum rasmi atau formal. Sebagai panduan, hari ini saya kongsikan 6 Kurikulum Rasmi atau Formal.



6 Kurikulum Rasmi atau Formal


Kurikulum formal ialah aktiviti pembelajaran yang nyata dan kemudian dipraktikkan oleh murid-murid bersesuaian dengan kehendak isi pelajaran sebagaimana yang dicadangkan oleh sesebuah sekolah.

Kurikulum ini melibatkan segala bentuk aktiviti sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Terdapat beberapa orientasi dalam kurikulum rasmi atau formal iaitu:


1. Kurikulum Akademik

a. Isi kandungan kurikulum ini jenis ini berdasarkan isi kandungan daripada perkara yang susah kepada senang dan daripada gambaran yang umum kepada khusus.

Mata pelajaran yang diajarkan adalah berdasarkan keperluan atau kehendak Negara-negara tertentu seperti Sains, Geografi, Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan lain-lain lagi.


2. Kurikulum Humanistik

a. Merupakan suatu kesedaran yang diperoleh daripada apa yang dipelajari oleh pelajar-pelajar daripada mana-mana mata pelajaran. Mereka pasti akan merasa sesuatu yang bermakna dan berharga kerana mereka akan dapat mencampurkan emosi, intelek dan perlakuan dalam dirinya.

Kurikulum berorientasi ini tidak tersusun, tetapi di dalamnya terdapat kesedaran agama, moral dan rohani kepada murid-murid yang sedia menghayatinya.

3. Kurikulum Teknologi

a. Kurikulum ini berasaskan kepada aliran sains, teknikal dan juga vokasional. Mata pelajaran yang dipelajari meliputi pelbagai perkara dan ada yang merupakan teras atau yang wajib. Untuk memasuki aliran ini, sekolah atau pusat-pusat pengajian perlu menyediakan keperluan fizikal yang cukup bagi menarik minat murid-murid mempelajarinya.

Masa yang diperuntukkan hendaklah mencukupi dan murid-murid perlu didedahkan kepada latihan dan praktikal bagi memudahkan proses pembelajaran.


4. Kurikulum Berbidang Luas

a. Kurikulum ini mengkategorikan kumpulan mata pelajaran yang mempunyai banyak persamaan. Misalnya, matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil mengandungi bacaan, lisan serta kefahaman diletakkan dalam kumpulan atau bidang bahasa manakala sains dan geografi diletakkan dalam bidang sains sosial.

5. Kurikulum Pengembangan Kognitif

a. Kurikulum orientasi ini cuba menghubungkaitkan unsure-unsur yang terdapat dalam mata pelajaran atau pengalaman yang diterima aga mereka dapat memanfaatkan dirinya dan juga orang lain.

Pelajar bukan sahaja diajar menghafaz dan lulus dalam peperiksaan tetapi juga supaya mereka boleh berfikir, menyelesaikan masalah dan boleh membuat keputusan yang munasabah.


6. Kurikulum Pembangunan Masyarakat

a. Kurikulum ini mempunyai kaitan dengan sosio budaya persekitarannya. Institusi pendidikan bukan sahaja dianggap sebagai tempat memberi pelajaran tetapi juga sebagai pusat yang boleh memberi sumbangan kepada masyarakat.

Sebagai contoh, mata pelajaran Geografi, Ekonomi, Kajian Tempatan dan juga kerja-kerja projek serta aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid di luar sekolah secara tidak langsung boleh mendekatkan murid-murid dengan kehidupan masyarakat.

Sumber:
Mohd. Saleh Lebar(1996).Perkembangan dan Haluan Kurikulum Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd
0 Komentar untuk "6 Kurikulum Rasmi atau Formal"

Back To Top