Assalamualaikum WBT
DALAM zaman siber, maklumat boleh diakses di hujung jari tanpa sempadan melalui kemudahan Internet.
Walaupun kemudahan ini memanfaatkan kita semua tetapi ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Sebaliknya kita harus mempunyai tatacara yang mampu mengawal tindakan seseorang dan seterusnya melindungi harta intelek penulisnya.
Sebagai seorang murid, ilmu dan pengetahuan yang terkini amat diperlukan dan kemudahan Internet ini penting untuk mengakses maklumat sama ada di rumah, di sekolah atau di kafe siber.
Maklumat yang diterima memuat banyak fakta yang mampu menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru. Walau bagaimanapun proses ini tidak memberi makna kepada pelajar jika amalan ”potong dan tampal” diamalkan tanpa melalui proses penganalisisan yang melibatkan penjanaan minda seseorang murid.
Tatacara Mengakses Maklumat
Oleh yang demikian dalam proses mengakses maklumat perkara berikut harus diambil perhatian agar ia dapat memberi nilai tambah kepada murid-murid.
• Mengenal pasti fakta utama
Apabila seseorang murid menemui maklumat yang berkaitan dengan bahan yang dicari maka mereka harus mencari fakta-fakta serta huraian ringkas mengenainya yang sesuai dengan kehendak soalan tugasan yang diberi.
Rujukan tidaklah terhad pada satu laman sesawang sahaja tetapi beberapa laman sesawang yang mempunyai kaitan dengan tajuk. Fakta-fakta ini boleh disalin semula atau menggunakan teknik salin dan tampal di satu dokumen yang baru.
• Menganalisis contoh dan hurian:
Contoh dan huraian yang diberikan harus difahami dan dianalisis. Anda tidak sepatutnya menyalin bulat-bulat yang yang terdapat dalam paparan tersebut tetapi hanya menggunakan beberapa istilah dan kata-kata yang menggambarkan huraian pengertian maksud.
Untuk memperjelaskannya lagi anda harus menggunakan ayat dan penerangan sendiri. Contoh-contoh yang tidak sesuai dengan situasi di negara kita haruslah dielakkan tetapi disebaliknya anda harus mencari dan memaparkan contoh-contoh yang bersesuaian dengan keadaan negara kita.
• Petikan pendapat atau kata-kata:
Anda mungkin ingin memetik beberapa ayat atau kata-kata yang terdapat dalam lama sesawang tersebut. Hal ini boleh dilakukan dengan syarat anda harus meletakkan nama dan sumber petikan tersebut tanpa mengakui petikan tersebut ialah hasil daripada buah fikiran anda sendiri.
• Imej atau gambar grafik:
Anda juga dibenarkan menyalin dan menggunakan imej atau gambar grafik yang terdapat dalam sesuatu laman sesewang asalkan ianya bukan bertujuan komersial. Walau bagaimanapun terdapat syarat-syarat kebenaran menggunakannya.
Sila layari http://www.kpdnkk.gov.my atau mana-mana laman sesawang yang lain yang berkaitan dengan kelayakan menggunakan bahan hak cipta untuk mendapat huraian lengkap.
Walaupun perkembangan teknologi maklumat ini memberi kemudahan yang luas dalam mengakses maklumat tetapi janganlah sampai menyalahgunakannya sehinggalah kita hanya berfungsi sebagai penerima maklumat sahaja. Sebaiknya kita juga harus mempunyai peranan sebagai pencipta yang kreatif dan inovatif.
Sumber: http://www.tutor.com.my
Oleh: Dr Ismail Zain
Tag :
Tip Belajar
0 Komentar untuk "Tatacara Mengakses Maklumat"