Hari Ini Sudah Berselawat

Review Buku: Didik Anak Urus Wang

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera


 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Buku yang akan saya review hari ini adalah buku yang saya pinjam dari Perpustakaan Negeri Pulau Pinang bersama dengan dua buah buku yang telah saya review sebelum ini iaitu:

  1. Rancang Wang Kita Sekarang
  2. Agar Aku Tidak Pokai Lagi
Buku-buku di atas lebih kepada mendidik diri kita sendiri menguruskan kewangan, tapi buku ini lebih kepada bagaimana mahu mendidik anak menguruskan wang.

Ya.

Saya yakin, semua ibu bapa mahu anak-anaknya soleh dan solehah serta pandai menguruskan kewangan sendiri.

Untuk itu, mari kita belajar bagaimana untuk mendidik anak kita pandai menguruskan kewangan mereka sendiri.

Mari kita mulakan dengan membaca buku. Selepas ini, kalau anak mahu ikuti seminar pun bagus juga sebab sekarang sudah ada kursus mengajar anak menguruskan kewangan.

Review Buku: Didik Anak Urus Wang 


Didik Anak Urus Wang
Didik Anak Urus Wang

Buku Didik Anak Urus Wang adalah buku tulisan Siti Faaizah Ismail terbitan PTS Profesional pada tahun 2017. Genre kewangan.

Biodata ringkas penulis


Beliau merupakan seorang penolong pengurus, Unit Sistem Kewangan di Menara TM. Memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Multimedia. Kecenderungan beliau dalam bidang ekonomi dan kewangan di samping minatnya adalah penulisan kerana baginya, ia adalah platform bagi berkongsi ilmu yang diterokainya.

Jom baca selanjutnya.

Ayat popular yang biasa kita dengar tentang kewangan adalah semua manusia kini tidak boleh hidup tanpa wang kerana segala macam benda perlukan wang.

Hendak pergi ke tandas, hendak minum, hendak makan, hendak pergi sana sini, hendak belajar dan hendak pergi kerja juga memerlukan wang.

Tetapi, awas.

Meskipun segala-galanya perlukan wang, jangan sampai kita menjadi hamba wang. Biar kita yang mengawal wang bukan wang yang mengawal kita. Nanti susah hidup kita.
Sebab itu para alim ulamak sering mengingatkan kita supaya jangan meletak wang di hati tetapi cukup di tangan.

Dalam erti kata yang lain, wang hanyalah alat untuk kita hidup bukannya hidup kita semata-mata untuk wang.

Jumlah wang yang kita ada tidak sepenting berbanding bagaimana kita menguruskan wang yang kita ada.

Oleh sebab itulah, zaman ini kita amat digalakkan belajar tentang pengurusan kewangan supaya kita dapat mengawal wang bukannya wang yang mengawal kita.

Ya.

Wang bukan sahaja digunakan oleh orang dewasa tetapi kanak-kanak kecil juga perlukan wang. Kalau orang dewasa perlu pandai menguruskan wang, kanak-kanak juga mesti pandai menguruskan wang mereka.

Lantaran itu buku Didik Anak Urus Wang ditulis untuk memberi panduan kepada ibu bawa agar mampu mendidik anak kita menguruskan wang sejak mereka kenal apa itu wang.
Mari kita lihat apa yang ada dalam isi kandungan buku ini.

Isi kandungan buku

Isi kandungan buku pertama  Didik Anak Urus Wang, nota mengajar belajar
Isi kandungan buku pertama  Didik Anak Urus Wang

Isi kandungan buku kedua Didik Anak Urus Wang, nota mengajar belajar
Isi kandungan buku kedua Didik Anak Urus Wang

Ringkasan Isi Kandungan buku


Pendahuluan


Sebelum masuk bab pertama, penulis menerangkan senario yang sering wujud antara setiap ahli keluarga dan wang.

Ramai ibu bapa tidak ambil kisah tentang pendidikan wang kepada anak-anak kerana mereka beranggapan bahawa pendidikan di sekolah sudah cukup bagi anak-anak menjadi orang yang bijak dalam semua perkara.

Namun begitu, apa yang terjadi kebanyakkan anak-anak yang membesar hanya bijak dari segi pelajaran yang diajar di sekolah tetapi tidak bijak dalam mengendalikan wang.
Semuanya kerana mereka tidak di asuh dan dididik sejak kecil bagi menguruskan wang oleh ibu bapa dan di sekolah.

Ringkasan Bab Pertama


Penulis mengajak ibu bapa memberi pendedahan kepada anak tentang pengurusan kewangan. Secara ringkasnya, pendidikan kewangan kanak-kanak boleh dikategorikan kepada 3 peringkat yang berbeza iaitu

  1. Kanak-kanak prasekolah
  2. Kanak-kanak berumur enam hingga dua belas tahun
  3. Remaja

Anak-anak ini perlu belajar tentang wang melalui pengalaman diri sendiri dan apa yang dilihat daripada ibu bapa mereka.

Pendidikan kewangan sepatutnya mengikut kesesuaian peringkat yang dinyatakan tadi.

Ringkasan Bab Kedua


Penulis menerangkan konsep wang kepada ibu bapa supaya mudah untuk mendidik anak-anak kita. Sebagai contoh, anak-anak perlu faham maksud pendapatan, simpanan, pinjaman dan perkongsian.
Pengajaran yang disampaikan menerusi perbincangan, pemerhatian dan sebagainya dapat menyediakan anak-anak dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan mengenai wang berdasarkan nilai dan kepercayaan dalam keluarga masing-masing.

Ringkasan Bab Ketiga


Penulis menyarankan agar diberikan elaun kepada anak untuk mereka mula melakukan praktikal pengurusan kewangan.

Sebelum diberikan elaun kepada anak, kita perlu faham maksud konsep elaun dan 10 rahsia elaun itu sendiri. Elaun tidak mempunyai kaitan dengan kerja rumah, kerja sekolah dan kasih sayang.

Ringkasan Bab Keempat


Bila sebut tentang simpanan, bukan sahaja kanak-kanak yang tewas tetapi ramai juga orang dewasa yang terkandas dalam bab ini.

Oleh sebab itu, memang penting untuk ibu bapa mengajarkan kepada anak-anak tentang simpanan sejak kecil lagi. Simpanan juga adalah peraturan utama bagi seorang jutawan.

Anak-anak perlu diajar membuat tabung seperti tabung ikan paus. Gambar rajah tabung ikan paus disediakan dalam buku ini.

Jika anak-anak ada matlamat untuk membeli barang, suruh mereka senaraikan dan mula menyimpan untuk membeli barang itu.

Penulis juga menyarankan agar anak kita menyediakan sebuah Buku Wang Saku untuk mencatat pergerakan wang dia terima dan gunakan.

Ringkasan Bab Kelima


Apabila duit yang disimpan agak banyak, sudah tentu ada nafsu untuk membeli. Oleh yang demikian, penting bagi kita mengajarkan anak-anak bijak dalam berbelanja. Anda boleh mengikuti 5 prinsip yang dicadangkan oleh penulis dalam bab ini.

Ringkasan Bab Keenam


Meskipun anak kita sudah mempunyai duit simpanan, satu perkara penting yang perlu mereka tahu ialah mereka perlu berkongsi dengan orang lain.

Menyumbang tidak semestinya dalam bentuk duit. Dalam bab ini, penulis menyarankan agar mencontohi 5 prinsip berkongsi iaitu:

  1. Sumbang 5 hingga 10% daripada elaun
  2. Sumbang secara konsisten
  3. Penglibatan anak secara fizikal
  4. Sumbang barang-barang terpakai
  5. Memberi hadiah

Ringkasan Bab Ketujuh


Dalam kehidupan kita, masalah besar yang sering dihadapi oleh kita adalah hutang. Jadi, tidak salah mengajarkan anak kaedah menguruskan hutang.

Terdapat 9 prinsip yang ditunjukkan dalam bab ini bersama contoh kontrak pinjaman dan rekod bayaran balik pinjaman antara ibu bapa dan anak-anak.

Ringkasan Bab Kelapan


Setelah anak kita mendapat beberapa pengalaman dalam menguruskan kewangan mereka sendiri, penting diajarkan kepada anak kita mengawal dan merekod belanjawan.

Ada 6 perinsip yang diterangkan dalam bab ini yang boleh diikuti oleh ibu bapa untuk diterangkan kepada anak-anak.

Dalam bab ini juga, penulis menunjukkan contoh merekod belanjawan secara bulanan dan tahunan.

Ringkasan Bab Kesembilan


Salah satu perkara penting yang perlu diajarkan kepada anak kita adalah pelaburan. Pada peringkat awal, perkenalkan konsep pelaburan kepada mereka dan terangkan 5 prinsip dalam pelaburan.

Sebagai praktikal, anak-anak kita boleh menyimpan duit mereka di SSPN dan Tabung Haji kerana di sana anak-anak kita akan mendapat dividen yang diberi secara tahunan.

Cara ini memudahkan mereka memahami maksud pelaburan.

Ringkasan Bab Kesepuluh


Cara untuk membiakkan duit simpanan anak-anak kita adalah dengan memberi pendedahan tentang berniaga. Anak-anak diajar menjadi usahawan kecil.

Penulis menjelaskan 6 prinsip yang boleh diajarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak untuk menjadi seorang usahawan. Terdapat 2 jenis usahawan yang boleh anak-anak lakukan iaitu:

  1. Produk - Menjual kad hari jadi, menghasilkan bingkai lukisan, kerepek, barang kraf tangan dan lain-lain lagi.
  2. Perkhidmatan - Menyediakan perkhidmatan memotong rumput, membersihkan halaman rumah, mencuci longkang, mengajar tuisyen, mengajar cara menggunakan komputer dan sebagainya.

Ringkasan Bab Kesebelas


Dalam mengharungi proses pembelajaran menguruskan kewangan, pasti ada cabaran yang terpaksa diharungi. Antara cabarannya ialah pengaruh iklan.

Anak-anak perlu memahami maksud di sebalik iklan yang sering keluar di televisyen, internet dan sebagainya. Mungkin ada elemen memujuk, janji manis yang sementara dan lain-lain lagi.

Kalau orang dewasa pun ramai yang terpedaya dan tertipu dengan iklan, apa tah lagi kanak-kanak. Oleh itu, anak kita perlu pandai menilai iklan yang sering mereka dengar atau lihat.

Tambahan


Sebelum menamatkan tulisan buku ini, penulis ada menyediakan panduan untuk anak-anak bersama ibu bapa bermain sayidina. Sayidina adalah sebuah permainan yang baik untuk mendidik dan melatih anak-anak menguruskan kewangan dengan baik.

Cover belakang  Didik Anak Urus Wang
Cover belakang  Didik Anak Urus Wang

Rumusan


Buku ini memang memberi panduan bagaimana cara untuk mendidik anak-anak kita menguruskan kewangan dengan baik dan terperinci.

Ditambah dengan contoh pengiraan, borang-borang kontrak dan sebagainya memudahkan ibu bapa untuk membaca serta faham dan seterusnya mengamalkan dalam kehidupan.

Namun begitu, ibu bapa dinasihatkan agar terlebih dahulu mengusai ilmu pengurusan kewangan supaya dapat menunjukkan contoh yang baik dalam menguruskan kewangan diri dan keluarga.

Elakkan pembaziran dan pembelian barang yang tidak termasuk dalam senarai yang dirancang. Jauhkan hutang yang tidak perlu.

Barulah  Rezeki Melimpah Ruah

Kita kena ingat, apa sahaja yang ibu bapa tunjukkan kepada anak-anak, sama ada baik mahupun buruk, anak-anak tetap belajar menguruskan kewangan daripada ibu bapanya.

Semoga anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan dapat menguruskan wang mereka dengan baik.
Tag : Buku, Kewangan
2 Komentar untuk "Review Buku: Didik Anak Urus Wang"

good one kan. persediaan untuk kita juga sebenarnya kadang kita pun tersasar.

Back To Top