Anak-anak dari latar belakang keluarga yang miskin, anak-anak kurang upaya, keluarga yang berada, anak yatim piatu dan dari bandar dan luar bandar, kesemuanya mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
Ini kerana kejayaan itu adalah hak bagi mereka yang berusaha untuk mencapainya bukan hak mereka yang datang daripada golongan tertentu sahaja.
Kejayaan berada di mana-mana dan tidak boleh ditentukan oleh keadaan sekolah, lokasi, latar belakang keluarga dan persekitaran, kerana telah terbukti sekolah tidak berasrama penuh juga mampu mencapai kejayaan cemerlang.
Jadi apakah faktor-faktor yang boleh menjadikan seseorang pelajar itu berjaya? Penulis telah mengadakan temu bual dengan beberapa orang pelajar cemerlang dalam PMR yang mendapat 8A hasil pertemuan dengan rakan-rakan penulis yang mempunyai anak-anak cemerlang dalam PMR.
Hasil sesi temu bual ini dapat kita kongsi bersama untuk mengetahui bagaimana untuk membentuk kecemerlangan akademik bagi anak-anak kita khususnya yang akan menduduki PMR bagi tahun 2009 ini.
Berikut adalah antara pendapat pelajar yang cemerlang dalam PMR 2007 dan mendapat 8A mengenai pendekatan belajar dan cara pembelajaran mereka:
- Jangan selalu ponteng kelas tanpa sebab dan tanamkan dalam fikiran bahawa setiap kali ponteng kelas, banyak ilmu yang diberikan oleh guru dalam kelas akan tertinggal.
- Selalu mendengar dengan teliti akan penerangan guru dan bertanyalah kepada guru jika tidak faham kerana ada ketikanya dalam menjawab soalan, segala penerangan guru dalam kelas akan diingati.
- Belajarlah secara konsisten dan bukan belajar secara 'sekejap ada, sekejap tak ada' minat untuk belajar. Pada awal tahun lagi belajarlah secara berterusan paling kurang pun dua jam sehari dan paling lama empat jam tetapi mesti konsisten.
- Buat latih tubi secara berterusan terutama subjek yang sukar dan latihan ini perlu dibuat di buku latihan, buku kerja dan juga di akhbar-akbar yang menyiarkan ruangan pendidikan.
- Jangan lupa untuk merehatkan fikiran dengan menyertai program-program riadah dan aktiviti sekolah.
- Dengar dan patuh kepada kata-kata ibu bapa kerana doa dan restu ibu bapa sangat penting dalam menjana kejayaan anak-anak.
- Pendapat ibu bapa mengenai peranan, usaha dan komitmen yang perlu diberikan kepada anak-anak bagi memastikan kejayaan dalam pelajaran mereka adalah seperti berikut:
- Terapkan nilai murni dalam keluarga agar anak-anak dapat pengukuhan mental, fizikal dan spiritual yang seimbang dalam pertumbuhan diri mereka.
- Jangan lupa memasak makanan yang berkhasiat untuk anak-anak dan jangan biarkan anak berlapar dan memakan makanan yang tidak berkhasiat.
- Jangan memarahi anak-anak dengan kata-kata yang tidak elok seperti "bodoh", "lembab otak," "pemalas" dan sebagainya tapi gantikan dengan kata-kata yang memotivasikan mereka seperti "bertuah punya anak", "belum pandai," dan "belum rajin".
- Jangan memukul anak-anak dengan penuh rasa marah, sakit hati atau benci di kepala, muka dan tubuh badan. Anak- anak akan menyimpan rasa dendam dan rasa benci pada ibu bapa.
- Berdoalah untuk anak-anak kerana doa dan restu ibu bapa adalah penting bagi kesempurnaan dan kejayaan anak- anak.
Tag :
Tip Belajar
0 Komentar untuk "Asas kejayaan pendidikan anak-anak"