Hari Ini Sudah Berselawat

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya

Assalamualaikum

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya
Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya


Kalau kita hendak berjaya dalam apa-apa bidang sekali pun, kita kenalah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan sanggup menempuhi segala rintangan yang menghalang.

Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya


PERIBAHASA ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ bermakna kita tidak mendapat kejayaan jika tidak berusaha, manakala ‘jangan pula sampai jadi seperti pungguk yang rindukan bulan’ pula bermakna jangan berharap pada sesuatu yang mustahil diperolehi.

Yang penting, kita harus melihat keupayaan diri, bak kata orang: “Bertindak biar berpada-pada. Jangan sampai benda yang diharap tidak dapat, kelak diri sendiri yang menderita.”

Namun, semua itu bergantung kepada niat. Jika betul niat kita, tidak mustahil kejayaan itu menjadi milik kita, tetapi jika sebaliknya, terimalah kepayahan yang bakal dilalui di atas kesilapan sendiri.

Sebenarnya kunci setiap kejayaan ialah tidak mebazirkan masa yang terluang seperti kata pepatah " Masa itu Emas " kerana kejayaan itu adalah milik sesiapa saja. Tidak kira siapa kita, jika rajin berusaha dan tidak membazir masa yang terluang, kejayaanlah yang akan menjadi upahnya.

Ketika usia mudalah seseorang perlu menyemat sifat bersaing, tetapi biarlah persaingan yang sihat. Pupuk sifat berlumba-lumba untuk menuju ke puncak menara gading.

Lihatlah bangsa lain dan pelajari cara mereka mengejar kejayaan dalam hidup. Mereka berusaha bersungguh-sungguh.Jarang sekali kita melihat mereka berfoya-foya menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

Habis saja waktu sekolah, mereka terus duduk di rumah mengulangkaji pelajaran. Bagi golongan remaja dan dewasanya pula, mereka tidak jemu berusaha untuk mencari ilmu, walau dengan cara apa sekalipun.

Sewajarnya, kita menjadikan semua itu sebagai contoh dan pengajaran. Jangan jadikan bangsa kita sebagai bangsa yang ketinggalan. Kita perlu bersemangat untuk memartabatkan bangsa sendiri.

Dalam aspek ini, ibu bapa juga harus memainkan fungsi betul. Jangan ada sifat sambil lewa ketika mendidik anak. Jadikan ia sebagai tanggungjawab dan agenda utama.

Ini kerana tidak dapat dinafikan setiap kejayaan anak terletak pada ibu bapa mereka. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai orang dulu mendidik anak mereka. Cuba kita bandingkan dengan sekarang, jauh betul bezanya.

Tidak salah kalau hendak manjakan anak, tetapi biar setimpal dengan keadaan. Jangan pula hanya mengikutkan kata mereka, sedangkan kata-kata kita langsung tidak dihiraukan.

Berbalik semula kepada topik asal kita yang ingin diperbincangkan. Setiap kita mesti ada impian dan matlamat. Kalau tidak ada, apa gunanya hidup, betul tak?

Menanam impian memang mudah. Yang sukar ialah cara merealisasikan setiap impian. Banyak dugaan harus ditempuhi. Pelbagai persediaan harus dibuat. Persiapan juga harus disusun rapi.

Umpama nak membina sebuah rumah. Kita harus menyediakan pelan terlebih dulu. Untuk menghasilkan rumah yang sempurna, empat faktor utama perlu dititikberatkan adalah tiang, dinding, lantai dan seterusnya bumbung. Jika kurang satu daripadanya, tidak sempurnalah rumah yang dibina itu.

Tidak jauh beza dalam membina kejayaan. Empat faktor utama perlu diterapkan dalam merialisasikan impian kita. Yang utama ialah niat diikuti dengan ketekunan berusaha.

Seterusnya perlu ada pengalaman atau sedikit pengetahuan mengenai ke mana arah usaha itu dan akhir sekali mesti ada sifat jujur kerana ia menjanjikan keberkatan di dalam setiap usaha dilakukan.

Jadi kesimpulan utamanya di sini ialah perancangan. Setiap susun atur perancangan itu mesti diikuti satu persatu. Memang tiada jalan pintas. Cuma kita perlu kreatif untuk menggubahnya. Kreatif yang macam mana?Kreatif dalam menguruskan masa.

Gunakan kesilapan masa lalu sebagai rujukan pada masa akan datang. Kumpulkan setiap kelemahan yang ada pada diri kita dan cari jalan untuk membina kekuatan pada setiap kelemahan itu.

Dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah kefahaman terhadap nilai agama perlu diterapkan dalam diri bagi menghasilkan rohani yang sihat.Ketiadaan pemahaman agama akan membuatkan pintu hati kita tertutup.Itu sebabnya ada yang merungut setiap kali usaha yang dilakukan tidak berhasil. Fikirkanlah di mana kekurangannya.

Di waktu mudalah kita perlu beramal. Jangan sesekali beranggapan kita akan hidup kekal lama. Dan jangan juga beranggap kesenangan yang kita peroleh sekarang adalah milik kekal.

Dengarkan kata-kata ini dan fikirkanlah ia sebagai pedoman kita semua: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib diri mereka sendiri.”

0 Komentar untuk "Tiada Jalan Pintas Untuk Berjaya"

Back To Top