Banyak definisi tentang psikologi yang telah diperkenalkan oleh pakar-pakar yang berkecimpung dalam bidang ini setelah sekian lama.
Perkataan psikologi ini barasal daripada perkataan Greek, iaitu: psyche dan logos. Psyche bermaksud jiwa, minda, semangat ataupun roh. Manakala logos bermaksud kajian tentang sesuatu. Maka, psikologi boleh dikaitkan dengan ilmu jiwa, atau kajian mengenai jiwa, minda ataupun semangat manusia. Dalam erti kata lain, psikologi diterjemahkan sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku dan proses mental organism. Psikologi juga ialah kajian saintifik berkenaan dengan aspek dalaman dan luaran bagi manusia dan haiwan.
Bidang ini menggunakan kaedah saintifik untuk melakukan kajian dan perkembangan ilmu. Apa yang dimaksudkan dengan saintifik? Saintifik boleh ditafsirkan sebagai kajian yang dijalankan dan data yang dikumpulkan perlulah mengikut prosedur yang sistematik dengan langkah-langkah seperti penyataan masalah dan penentuan hipotesis yang ingin dikaji, rekabentuk kajian dan penentuan teknik pengumpulan dat, mengumpulkan data, melakukan analisis data dan membuat laporan penentuan setakat mana hipotesis dapat dibuktikan.
Psikologi terhasil daripada bidang falsafah yang mana pelbagai kajian telah dibuat sejak penghujung abad ke 19 dan bidang ini telah berumur lebih kurang daripada 100 tahun. Fokus disiplin psikologi pada peringkat awal ialah mengkaji dan memahami bagaimana manusia atau organisma mengetahui atau belajar. Seterusnya, bidang ini dibahagikan kepada sub disiplin lain seperti psikologi perkembangan, psikologi social, psikologi kaunseling dan sebagainya.
Sumber:
Baharom Mohamad, Ahmad Esa dan Husin Junoh (2008). “Psikologi Pendidikan Dalam PTV”. Johor: Penerbit UTHM
Tag :
Psikologi
0 Komentar untuk "Berkenalan Dengan Psikologi"