Saya ingin mencadangkan beberapa tempat yang sepatutnya dikunjungi oleh pelajar. Tempat-tempat ini harus dikunjungi seberapa kerap yang boleh dan kutip lah ilmu daripadanya seberapa mungkin. Tempat-tempat tersebut ialah
- masjid atau surau,
- perpustakaan,
- kedai buku
- rumah sendiri
Di masjid atau surau terlalu banyak sumber ilmu yang diperolehi sama ada ilmu akhirat atau dunia. Di sana juga kita dapat bergaul dengan jemaah yang datang dan boleh belajar daripada pengalaman-pengalaman jemaah yang lain, tetapi berhati-hati kerana berbicara dalam masjid tentang keduniaan menyebabkan amalan selama 40 tahun ditolak. Hadirkan diri dalam majlis ilmu seperti kuliah dan ceramah yang diadakan di masjid atau surau itu. Selain itu, sekiranya ada majlis gotong-royong seperti kenduri, bersihkan kawasan surau atau masjid, membuat bubur lambok dan sebagainya sangat digalakkan hadir kerana aktiviti ini dapat memupuk perasaan kasih dan sayang sesama manusia. Bertandang ke masjid atau surau merupakan aktiviti bersaham tinggi yang berpotensi mendidik pelajar-pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.
Gedung ilmu yang besar ialah perpustakaan kerana terdapat berjuta-juta bahan yang boleh dijadikan sumber untuk mendapat ilmu pengetahuan. Jadikan budaya membaca sebagai amalan kita kerana sejarah telah membuktikan orang yang berjaya mempunyai sikap suka membaca. Biasakan diri belajar dan mengulang kaji pelajaran di perpustakaan kerana persekitarannya yang mampu meninggikan fokus bagi individu-individu yang berada di situ untuk membaca dan belajar. Fokus yang tinggi untuk belajar adalah penting kerana banyak perkara yang perlu difikirkan dalam proses pembelajaran. Sesiapa sahaja boleh meminjam buku tersebut tanpa mengeluarkan wang dan jika perpustakaan awam mungkin pengunjung perlu mengeluarkan beberapa ringgit untuk menjadi ahli. Pinjamlah buku, majalah, surat khabar, CD dan sebagainya untuk dijadikan sebagai sumber ilmu. Di samping itu, sesetengah perpustakaan ada menyediakan perkhidmatan internet, maka bolehlah pelajar-pelajar mengunakan perkhidmatan tersebut untuk mendapatkan maklumat dengan banyak dan terbaru.
Kedai buku juga merupakan gedung untuk mengumpul ilmu pengetahuan. Tetapi di kedai buku kita perlu mengeluarkan duit jika kita ingin memiliki buku yang dijual. Kepada pelajar yang mungkin tidak mempunyai buku boleh juga bertandang ke kedai buku untuk mencari idea tentang buku-buku terbaru. Jika tidak mampu membeli buku yang diidamkan boleh diajukan kepada perpustakaan sekolah atau institusi supaya diadakan buku tersebut. Idea-idea baru ini adalah penting untuk merangsang otak pelajar dalam proses pembelajaran.
Terdapat beribu-ribu ilmu di dalam rumah sendiri di mana pelajar-pelajar perlu menjadikan rumahnya sendiri untuk belajar. Pembalajaran yang berlaku mungkin tidak secara formal tetapi di sini lah bermulanya pendidikan bagi seorang manusia normal. Pelajar boleh berlajar dari ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Belajar bergaul, memasak, mengurus diri, membaca, bermain dan sebagainya.
Teruskan belajar dengan doa dan usaha yang tidak jemu-jemu.
0 Komentar untuk "Tempat-Tempat Menjana Kecemerlangan Pelajar"