Hari Ini Sudah Berselawat

Rungsing

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Telah sekian lama saya tidak mengemas kini blog ini oleh kerana kekangan-kekangan untuk melayari internet yang agak sukar. Semasa menjalani latihan mengajar di Politeknik Seberang Perai, saya tidak berpeluang untuk melayari internet secara bebas kerana saya tidak mempunyai komputer riba. Sekiranya berkesempatan meminjam laptop kawan pun hanyalah sekadar untuk menyempurnakan tugasan-tugasan penting. Maaflah kepada pengunjung blog ini yang mungkin tertanya-tanya adakah saya sudah berhenti dari menulis blog. Oh..tidak, InsyaAllah selagi saya berpeluang untuk menulis saya akan teruskan.

Saya selalu merujuk kepada tujuan asal saya membangunkan blog saya ini. Iaitu, saya belajar menulis blog untuk belajar. Cita-cita saya adalah untuk menjadi pengajar, tetapi salah satu ciri seorang pengajar adalah terus belajar dan belajar. Jadi saya akan terus belajar dan terus belajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan, InsyaAllah...

Kenapa tajuk entri saya ini rungsing?

Kalau boleh saya ingin menghindarkan diri dari mengeluarkan atau menyebut perkataan yang menunjukkan tanda-tanda negatif. Namun, saya lontarkan juga perkataan sebegini sebagai peringatan untuk diri saya dan semua orang di luar sana supaya kita bangun dari lena yang panjang.

Baru-baru ini kita digemparkan lagi dengan tanah runtuh seperti mana kejadian yang hampir sama pernah berlaku dahulu. Masing-masing cuba menunding jari menyalahkan orang tu! orang ni! yang bertanggungjawab di atas kejadian yang telah berlaku. Di kampung saya beberapa jam lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidil Adha, kedengaran berita kematian seorang pemudi yang meninggal kerana terlekat dodol. Mungkin sesetengah orang menanggap cerita ini melucukan! Tetapi kejadian ini tetap menjadi kenangan pahit kepada keluarga si mati. Kejadian bunuh di sana sini! Rogol dan zina di merata tempat! Ragut dan rompak berleluasa! Ajaran sesat tetap tidak kehabisan! Bermacam-macam lagi kejadian yang menyayat hati setiap individu kini yang berlaku setiap hari. Tidak rungsingkah kita?

Macam-macam cara dan kaedah yang cuba digunakan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan bagi menangani masalah ini. Namun, kejadian yang kita tidak ingini masih lagi menjadi-jadi.

Saya turut bersetuju bahawa kejadian buruk yang berlaku pada hari ini adalah bala dari Allah SWT di atas kesalahan manusia sendiri. Berbalik kepada asal kejadian manusia dan alam. Kita semua sudah sedia maklum bahawa yang menciptakan manusia dan mentadbir alam adalah Allah SWT. Setiap ketentuan Allah SWT tidak sia-sia dan Allah SWT tahu apa yang baik untuk makhluknya, tetapi apabila manusia sudah lupa akan tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya dilaksanakan. Maka terimalah akibat yang mana bukan orang yang jahat sahaja yang menerimanya tetapi orang lain juga turut merasa.

Sebagai pendidik atau pengajar, saya rasa pelbagai pendekatan pengajaran dan alternatif paling sesuai perlu dilaksanakan untuk menarik minat belajar. Perkara utama yang perlu ditekankan ialah agama mesti didahulukan. Walaupun apa pun subjek yang diajar, nilai-nilai agama perlu sentiasa diterap. Tugas ini bukan semata-mata kepada ustaz sahaja, tetapi kepada semua pendidik yang beragama Islam. Bagi yang bukan Islam nilai murni harus diterapkan.

Manusia akan bahagia apabila mendapat rahmat Allah SWT. Rahmat perlu dicari contohnya bersolat berjemaah, makan berjemaah, menuntu ilmu, membaca Al-Quran dan sebagainya. Bersamalah kita meneruskan dakwah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Semoga kita semua dicucuri rahmat.

Tag : Motivasi
0 Komentar untuk "Rungsing"

Back To Top